Header Ads

Ismail Sabri sifatkan Manogaran sengaja cabar Akta SPR


Pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoal tindakan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran memakai baju berlogo parti dalam perkarangan pusat pengundian yang disifatkannya sebagai sengaja mencabar Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata tindakan bertentangan dengan akta SPR dibuat calon PH bersama jenteranya bermula sejak penamaan calon sehingga ke hari ini, berhubung perkara seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka serta ugutan terhadap tok batin.

Loading...

“Lebih malang lagi calon (PH) itu ke tempat pengundian dengan logo (parti) sedangkan itu jelas dalam akta SPR tidak ada logo pun boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari tempat pengundian dan dia berada dalam pusat pengundian.

“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa mereka suka walaupun bantahan dan laporan polis dibuat BN sejak mula (kempen),” katanya ketika ditemui di luar perkarangan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau di sini hari ini, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera turut mempersoal mana suara-suara dan kenyataan lantang daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang dahulunya sering mengkritik ketika pemerintahan kerajaan BN.

“Saya harap Bersih jangan hanya berarak di jalan raya sewaktu (kerajaan ) BN yang mereka katakan kurang bersih, tapi sekarang ini jelas ‘kotor’ berlaku secara terbuka.

“Malah, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Bersih atau pun mana-mana NGO lain,” katanya.

Sementara itu, Ramli kecewa dengan tindakan calon PH tersebut yang tidak peka dengan akta-akta SPR, walhal calon itu sudah tiga kali bertanding pada pilihan raya.

“Dia lebih berpengalaman daripada saya. Saya baru pertama kali (bertanding). Jadi sekarang, saya biarkan orang ramai menilai,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan tinggi sokongan pengundi terhadap BN berdasarkan tinjauannya ke beberapa pusat pengundian sejak pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata Manogaran telah diarah keluar daripada sebuah pusat mengundi oleh pegawai SPR kerana pakaiannya mempunyai logo parti.

Beliau berkata menjadi satu kesalahan bagi sesiapa sahaja yang membawa atau memakai material memaparkan logo parti dalam kawasan mengundi dan jarak 50 meter di luarnya.

“Jadi tindakan telah diambil SPR dengan meminta beliau keluar dari kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ringlet.

Dilaporkan, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mempersoal tindakan SPR yang membenarkan Manogaran memakai baju berlambangkan PH masuk ke dalam pusat mengundi di SK Senderut di Kuala Lipis.

Beberapa keping gambar memaparkan Manogaran memakai baju berlogo PH diiringi petugas SPR memasuki pusat mengundi itu turut dimuat naik Asyraf Wajdi dalam laman Facebook beliau.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita di SJK (C) Brinchang dan diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas hari ini, yang mempertikai pencalonan Manogaran dan Ramli bagi PRK kali ini kerana kedua-dua mereka bukan pengundi di situ, Azhar berkata perkara itu di bawah bidang kuasa pembuat dasar dan bukannya SPR.

“Sebenarnya perkara itu adalah perkara dasar dan bukan di bawah bidang kuasa SPR, maka saya serahkan perkara itu kepada pembuat dasar sama ada untuk melihat perkara itu perlu ditukar atau tidak,” katanya. - Bernama

No comments


Loading...