Header Ads

Fungsi kerajaan bukan untuk kaut untung, kata Dr Mahathir


Hasil yang diraih kerajaan sepatutnya disumbangkan kembali kepada rakyat, lantaran kerajaan tidak dibentuk untuk meraih kekayaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika ke-3 (ICEA 2019), Perdana Menteri  menegaskan kekayaan boleh dijana menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Loading...

“Jika hasil bumi negara itu penuh dengan emas sekali pun, kerajaan perlu menggali untuk mendapatkannya dan itu adalah fungsi sektor perniagaan.

"Kerajaan tidak cekap dalam menjalankan perniagaan kerana penubuhan kerajaan bukan bertujuan meraih keuntungan untuk diri sendiri.

“Sebaliknya, hasil kekayaan itu harus disalurkan semula kepada rakyat. Justeru, kerajaan akan gagal apabila cuba mengambil alih fungsi perniagaan sektor swasta,” ujarnya seperti dilapor Astro Awani.

Ucapan beliau disusuli tepukan gemuruh oleh Ketua-ketua Negara Afrika serta lebih 1,000 delegasi dan peserta yang hadir pada pembukaan persidangan tersebut di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio di sini pada Khamis.

Beliau berkongsi polisi Malaysia yang menggalakkan pembangunan sektor swasta dan pada masa sama turut mengenakan cukai korporat kepada syarikat swasta, yang bakal membantu menjana hasil kerajaan.

“Adalah jauh lebih baik jika kerajaan membenarkan sektor swasta menjalankan perniagaan kerana ia akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak, selain mereka boleh menjana keuntungan yang besar.

“Ini kerana, beberapa peratus daripada keuntungan tersebut adalah hak milik kerajaan. Kita (kerajaan) bukan membantu mereka begitu sahaja.

"Kita membantu mereka supaya dan mereka boleh membantu kita dengan keuntungan yang mereka jana,” jelas beliau lagi.

Justeru, ujar beliau, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta mampu membantu memacu ekonomi sesebuah negara dengan lebih pantas.

No comments