Header Ads

Duta Palestin sedih hanya Dr Mahathir sendirian tentang Israel

Duta Palestin ke Malaysia H E Walid Abu Ali berucap ketika Majlis Pelancaran Kempen #WeAreAllMary Gerakan Solidariti untuk Pembebasan Wanita Al-Quds semalam. — Foto oleh Bernama

KUALA LUMPUR — Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata suara lantang Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Palestin perlu mendapat sokongan pelbagai pihak dan negara di seluruh dunia bagi memperjuang nasib rakyat negara itu.

“Saya secara peribadi sedih melihat bagaimana Malaysia dan Dr Mahathir dibiarkan bersendirian berhubung isu baru-baru ini, yang mana, malangnya, turut menyaksikan negara-negara Arab lain turut mendiamkan diri dalam perkara itu.

Loading...


“Ini tidak sepatutnya berlaku, jadi saya berharap mereka yang percayakan demokrasi, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa untuk (sekurang-kurangnya) tampil ke hadapan dan menunjukkan solidariti dengan Malaysia dan pemimpinnya.

“Saya harap kita dapat elakkan ‘double standards’ apabila timbul isu Israel dan Palestin.”

Duta itu berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 susulan keputusan Malaysia untuk tidak membenarkan perenang Israel mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Walid ditemui di luar pelancaran kempen #WeAreAllMarry, anjuran bersama Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) serta Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), yang berlangsung di sini semalam.

Walid merasmikan kempen global itu, yang dipelopori sebuah organisasi berpangkalan di Turki, The International Union of Al-Quds Cultural Education and Research (UKAED), yang menyaksikan penyertaan lebih 30 negara termasuk Indonesia, Brazil, Kenya, Kanada, United Kingdom, Pakistan dan Rusia.

Mengulas hubungan dua hala, Walid berkata rakyat Palestin sentiasa berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap perjuangan Palestin selama tujuh dekad.

Di bawah kepimpinan semasa Dr Mahathir, yang beliau sifatkan sebagai tegas dalam menonjolkan isu Palestin, Walid juga berkata sokongan pendidikan adalah satu daripada tonggak utama bagi hubungan dua hala.

Merujuk kempen #WeAreAllMarry yang menggariskan satu projek bagi menyediakan biasiswa pendidikan kepada sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin dalam kalangan negara peserta, Walid berkata beliau bersyukur dengan usaha yang ditunjukkan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan Malaysia yang bekerja dengan penuh dedikasi untuk Palestin.

“Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat, secara politik, kepada Palestin. Mereka sentiasa menunjukkan solidariti mereka di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Tiada sebarang keraguan tentang perkara ini.

“Tonggak kedua ialah sokongan pendidikan. Kami mempunyai kira-kira 2,000 pelajar Palestin di universiti-universiti Malaysia, di semua peringkat.

“Mereka diberikan layanan yang sama dengan rakyat Malaysia. Di sinilah Malaysia sekali lagi menunjukkan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin.

“Oleh kerana kami benar-benar yakin bahawa pendidikan adalah alat untuk membebaskan Palestin, maka di mana sahaja kami berada, kami akan berusaha mencari pendidikan dan kami amat bersyukur atas sokongan yang telah diberikan kepada kami, setakat ini,” katanya.

Pada Isnin malam, menerusi satu posting blog yang keras bertajuk ‘A Genocidal State,’ Dr Mahathir berkata Israel adalah sebuah negara penjenayah yang perlu dikecam.

“Saya mohon kepada mereka yang bersimpati dengan perjuangan masyarakat Palestin agar menyuarakan kecaman mereka. 

“Keganasan  bukanlah satu jawapan. Satu strategi yang betul diperlukan untuk memberikan keadilan kepada rakyat Palestin,” kata perdana menteri dalam posting di blognya. — Bernama

No comments