Header Ads

Desakan agar Pengerusi Bersatu Perlis letak jawatan, ibarat tidak hormati Tun M


KANGAR - Tindakan mendesak Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan oleh sebahagian pimpinan parti agar melepaskan jawatan dilihat seolah tidak hormati keputusan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik beliau menerajui Bersatu di Perlis.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Perlis, Dr Ammar Hassan berkata, tindakan sekumpulan pemimpin parti yang mengadakan sidang media beramai-ramai mendesak Ameir berundur adalah tidak wajar dan memalukan.

Loading...

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Arau turut mengingatkan pemimpin dan ahli agar tidak menggunakan saluran media bagi mendedahkan krisis dalaman parti.

“Sepatutnya guna saluran betul jika tak berpuas hati dengan kepemimpinan beliau. Pelantikan pengerusi negeri adalah hak mutlak pengerusi atau presiden. Kalau kita tolak seolah-olah kita tidak hormati keputusan Dr Mahathir,” katanya.

Ammar berkata, kemelut dalaman parti tidak sewajarnya dibawa kepada pengetahuan umum kerana ia akan memberi gambaran tidak baik rakyat terhadap Bersatu.

“Buat masa ini, kita sedang menumpukan agenda memantapkan organisasi parti seterusnya fokus bersama PH untuk menawan Perlis pada PRU akan datang. Jangan kita rosakkan agenda ini dengan krisis yang tidak memberi sebarang faedah untuk kebaikan parti,” katanya.

Beliau mengulas tindakan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap-sayap Bersatu mendesak Ameir melepaskan jawatan pada sidang media khas, semalam.


Sidang media itu diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim yang sepakat menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir selain menyifatkan beliau gagal menguruskan parti dengan baik.

-sinar harian

No comments

Loading...
loading...