Header Ads

Dakwaan ahli PKR keluar parti hanya khabar angin - Zuraida


PUTRAJAYA – Dakwaan kononnya Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali kini sedang mengetuai gerakan untuk anggota keluar parti hanyalah satu khabar angin, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin.

“Khabar angin adalah khabar angin,” kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditanya wartawan berhubung dakwaan tersebut.

Loading...

Mengulas juga desas-desus pertemuan anggota PKR yang didakwa membincangkan mengenai calon Perdana Menteri, Zuraida menyatakan beliau tidak pasti berhubung perbincangan itu dan meminta polemik isu jawatan perdana menteri dihentikan.

"Mari kita maju ke hadapan, buat kerja masing-masing dan lihat apa yang akan berlaku dua tahun akan datang," katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Majlis Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di sini hari ini.

Berhubung laporan sebuah blog kononya Pendaftar Pertubuhan (ROS) bakal menggantung PKR kerana berlaku penipuan dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, Zuraida berkata PKR belum menerima sebarang notis daripada ROS.


“Saya tidak baca lagi artikel berhubung perkara itu tetapi apa-apa pun sebarang aduan harus dibuat mengikut prosedur dan saluran yang betul termasuk daripada segi proses," katanya, sambil menambah isu berkaitan pergantungan jika ada akan dijawab oleh Setiausaha Agung PKR. - Bernama

No comments

Loading...
loading...