Header Ads

Cukai lebih luas, kastam yakin kutipan SST lebih RM22b


KUALA LUMPUR — Jabatan Kastam Diraja Malaysia optimis kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada tahun ini akan mengatasi sasaran RM22 bilion.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata ini berdasarkan perluasan perkhidmatan yang tertakluk kepada SST merangkumi operasi taman hiburan, sekuriti, broker dan penaja jaminan, pembekal perkhidmatan pembersihan bangunan komersial dan industri serta latihan dan bimbingan.


Loading...
“Kita akan dapat mengatasi sasaran ini dengan mudah dan mengutip lebih daripada RM22 bilion,” katanya kepada pemberita pada seminar “Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan — Perkembangan Terkini dan Isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)” di sini semalam.

Subromaniam berkata perluasan perkhidmatan yang tertakluk kepada SST, bermula 1 Mac, dijangka memperoleh sekurang-kurangnya 10,000 pendaftaran baharu.

“Kelab malam yang tidak berdaftar, dewan tarian, kabaret, pusat kesihatan dan kesejahteraan, rumah urut, pub dan kedai arak juga akan tertakluk kepada SST. Ini untuk berlaku adil kepada perniagaan yang berdaftar dan membayar SST,” katanya.

Sementara itu, Subromaniam berkata pengecualian ke atas kapal marin mahal seperti kapal persiaran, bot persiaran, feri dan kapal kargo disebabkan ia dianggap sebagai pelaburan.

Barangan mahal lain yang dikecualikan daripada cukai adalah kapal tongkang, kapal penumpang dan kapal pengangkutan barangan, kapal nelayan, ‘factory ship’ dan kapal lain yang digunakan untuk memproses atau mengawet produk ikan.

Beliau berkata dari perspektif dasar cukai, barangan pelaburan tidak boleh dikenakan cukai kerana ia tidak akan memberi manfaat kepada perniagaan di negara ini.

“Jika kita mengenakan cukai ke atas barangan pelaburan, rakyat boleh membeli dari negara lain seperti Singapura dan Hong Kong, apabila tiada cukai ke atas barangan ini dan kapal-kapal ini boleh digunakan di Malaysia. Ini tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa,” katanya.

Subromaniam berkata cukai ke atas barangan mahal yang dianggap sebagai barangan pelaburan akan turut menjejaskan perniagaan tempatan berikutan langkah itu akan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan. — Bernama

No comments


Loading...