Header Ads

Batalkan ECRL kerana ‘direka’ untuk kayakan pihak tertentu - Prof Jomo


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dibatalkan kerana projek itu “direka” untuk keuntungan pihak tertentu, tegas pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.

Beliau mahu projek itu dimansuh bagi menyelamatkan negara dari mengalami kerugian lebih besar, seperti dilapor Berita Harian hari ini.


Loading...

“Saya sudah nyatakan dari dulu lagi, sebelum pilihan raya lagi, saya minta ia dibatalkan,” kata bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

“Sebenarnya projek ECRL tidak menguntungkan dan memang dari dulu lagi sesuatu yang direka untuk mendapat keuntungan (dan) kekayaan bagi pihak tertentu”.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini pula berkata Putrajaya sedang mengadakan perbincangan langsung dengan Beijing, China berkaitan projek tersebut.


Sejak minggu lalu, wujud percanggahan pendapat antara menteri sama ada untuk meneruskan atau membatalkan projek yang didakwa bernilai RM81 bilion.

Status keputusan yang berubah-ubah mengundang kritikan sinis bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya “kalah sinetron Indonesia”.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara ini akan 'menjadi miskin' jika projek itu diteruskan.

Dr Mahathir juga berkata pampasan yang akan dibayar untuk membatalkan projek itu jauh lebih rendah berbanding hutang yang akan ditanggung negara jika projek itu berjalan.

Pengkritik ECRL sebelum ini mendakwa projek bernilai RM55 bilion yang diilham ketika pentabiran Najib Razak itu merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menyelamat dan menutup kerugian 1MDB.

Najib dan Beijing bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.

No comments