Header Ads

Bapa mengaku salah simbah 2 anak dengan air panas

Foto NSTP

Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di George Town hari ini atas dua pertuduhan menyimbah dua anaknya dengan air panas, bulan lepas.

Eddy Noramin Ramli, 41, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Radzuan.


Loading...
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas bapa kepada empat anak itu kerana menunggu laporan perubatan mangsa dan menetapkan 12 Feb ini untuk menjatuhkan hukuman.

Sejurus itu, peguam Edmund Anthony Herman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibebas dengan jaminan terlebih dahulu sementara menanti keputusan untuk hukuman.

Menurut peguam itu, Eddy Noramin, ejen jualan kad prabayar, perlu menyara empat anaknya dengan pendapatan hanya RM500 sebulan dan isteri tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan Eddy Noramin diikat jamin dengan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati kedua-dua mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun, menggunakan air panas hingga melecur badan mangsa di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam, di George Town, antara jam 1.00 pagi dan 2.00 pagi, 28 Dis lepas.

Dalam pertuduhan kedua pula, dia dituduh melakukan perbuatan sama terhadap anak lelakinya yang berusia 10 tahun di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan bapa seorang kanak-kanak perempuan yang melecur di beberapa bahagian badan dipercayai disimbah air panas oleh bapanya setelah dia dipercayai menghabiskan makanan keluarganya.

- Bernama

No comments

Loading...
loading...