Header Ads

Azmin, Rafizi perlu faham tugas, elak sengketa PKR

Foto Astro Awani

BUKIT MERTAJAM — Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin percaya kesejahteraan parti itu bergantung kepada kebijaksanaan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemudi parti tersebut.

Katanya, beliau juga percaya Anwar mampu menangani masalah berhubung dakwaan kononnya akan berlaku pergolakan dan ketegangan dalam PKR berikutan ketidaksefahaman antara timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan naib presiden presiden, Rafizi Ramli.

Loading...

“Kesejahteraan parti (PKR) terletak pada tangan Presiden (Anwar)...kalau presiden kata itu, itulah kesejahteraan parti maka itulah dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti, di sini, hari ini.

Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian ketika mengulas kenyataan penganalisis politik Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub, yang dilaporkan berkata, keputusan Anwar melantik Rafizi sebagai naib presiden boleh mencetuskan pergolakan dalam PKR.

Mohammad Tawfik berkata ketegangan itu akan berlaku berikutan ketidaksefahaman di antara Mohamed Azmin serta Rafizi dan beliau mencadangkan agar seorang daripada mereka mengundurkan diri untuk mengelakkan pergolakan dalam parti itu.

Sementara itu, Zuraida berkata Rafizi dan Mohamed Azmin perlu memahami kedudukan masing-masing dalam menjalankan tugas agar tidak berlaku pergolakan dalam parti itu seperti yang diramalkan banyak pihak.

Katanya, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dan Rafizi juga perlu bijak menilai situasi sebenar di sebalik pelantikan berkenaan.

“Dua-dua kena faham, siapa yang menang...siapa yang kalah kena faham. Jadi, mereka pandai-pandailah jalankan tugas,” katanya.

Pelantikan Rafizi ke jawatan asalnya selaku naib presiden dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem Mohamed Azmin selepas pertarungan sengit ketika merebut jawatan timbalan presiden PKR baru-baru ini.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi parti, seperti diumumkan Anwar Jumaat lepas dilihat tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’.

Namun, Anwar bertegas dengan keputusannya selain menyifatkan pelantikan yang dilakukan itu bersifat inklusif dan bertujuan melindungi kepentingan semua anggota parti dan bukan hanya satu pihak. — Bernama

No comments

Loading...
loading...