Header Ads

Azeez berdepan 12 tuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta, abang dituduh bersubahat

Foto Bernama

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sembilan tahun lalu.

Abdul Azeez, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Loading...


Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah kerana telah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Menurut laporan Utusan Online lagi, beliau turut didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat dan perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif, 61, yang merupakan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kes ditetapkan 27 Mac ini.

No comments