Header Ads

wujudnya parti baharu tanda kegagalan kerajaan sedia ada



SABAK BERNAM - Politik di Malaysia ketika ini dilihat tidak stabil dan perlu mengambil pelbagai aspek sekiranya mahu menubuhkan parti politik baharu.

Ketua Pembangkang Dun Selangor, Rizam Ismail berkata, sekiranya tertubuhnya parti politik baharu menandakan parti sedia ada hilang keyakinan terhadap kerajaan sedia ada. 

Loading...


"Malah, ia turut menampakkan perpecahan dan kegagalan dalam pentadbiran kerajaan mahu pun parti itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda.

Bagaimanapun Rizam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya tiga ikon itu menubuhkan parti baharu, sudah pasti ia akan mempunyai pengikut tersendiri.

"Sebagai contoh, parti Bersatu dan Warisan yang baharu ditubuhkan dalam masa singkat berjaya memenangi PRU14 dan menjadi kerajaan hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar berkata, pertemuan antara tiga individu itu dianggap bersifat individu dan lebih menjurus kepada permasalahan rakyat selain membincangkan isu politik semasa.

"Nurul Izzah baru melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, manakala Khairy tidak memegang apa-apa jawatan tertinggi.

"Oleh itu, saya hanya beranggapan bahawa tiga pemimpin muda itu boleh berjumpa atas tiket persahabatan," katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan gandingan tiga pemimpin muda, Khairy, Nurul Izzah dan Rafizi dipercayai sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda.

 Tiga ikon orang muda itu dilihat semakin akrab berkongsi pandangan menerusi pertemuan, serta komen balas sesama mereka di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.


Spekulasi lebih kuat apabila Nurul Izzah membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan Naib Presiden PKR, manakala Khairy semakin terbuka mengkritik kepemimpinan tertinggi Umno.

 Rafizi yang tewas dalam perebutan Timbalan Presiden PKR pula semakin mendekati pengundi muda, khususnya menerusi platform INVOKE yang diterajuinya.

-Sinar Harian

No comments


Loading...