Waytha, Maszlee usaha lakukan yang terbaik, kata Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri P. Waytha Moorthy sedang berusaha melakukan yang terbaik dalam
melaksanakan tugas mereka sebagai menteri.
"Saya berpuas hati. Mereka sedang melakukan yang
terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam bertema
'Malam Istimewa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bersama Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali' di sini, Jumaat malam.
Loading...
Sebelum ini, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri
Datuk A. Kadir Jasin dilapor memberitakan 'nasihat' melalui catatan di blognya
kepada Waytha Moorthy dan Maszlee Malik berhubung prestasi masing-masing sejak
kebelakangan ini.
Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri, Dr Siti
Hasmah, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Mohamad dan Presiden MMA Dr Mohamed
Namazie Ibrahim.
Dr Mahathir turut ditanya keputusan Mahkamah Pilihan Raya
hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi
parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, adalah
terbatal dan tidak sah.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata gabungan
berkenaan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu yang mungkin
menjurus kepada soal menentukan calon bagi kerusi berkenaan.
"Awal lagi. Kita akan memilih seseorang. Kita ada ramai
calon untuk dipilih," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sememangnya
bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat
termasuk dari segi ubat-ubatan.
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menerima Anugerah
Pencapaian Sepanjang Hayat MMA manakala Dr Siti Hasmah diberi penghargaan
sebagai Anggota Kehormat MMA. – BERNAMA
Post a Comment