Wan Azizah, 2 yang lain diarah bayar RM70k ganti rugi pada Felda
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - Foto FMT
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak
syarikatnya bersetuju dengan rayuan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain bagi bayaran
ganti rugi fitnah yang dikekalkan pada RM70,000 dan bukannya RM2 juta.
Peguam Francis Pereira memberitahu panel tiga hakim Mahkamah
Rayuan hari ini perintah persetujuan daripada kedua-dua pihak dalam saman itu,
Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah bersetuju dengan
rayuan yang dikemukakan oleh kliennya Dr Wan Azizah, bekas Timbalan Presiden
PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat.
Loading...
Berikutan perintah persetujuan itu, Dr Wan Azizah yang juga
bekas Presiden PKR, Syed Husin dan Rusnizam perlu membayar ganti rugi fitnah
RM70,000 dan bukannya RM2 juta kepada Felda dan FGV.
Mereka merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan
mereka membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan FGV berhubung artikel
berunsur fitnah dan mereka memohon mahkamah mengembalikan keputusan timbalan
pendaftar, yang memerintahkan mereka membayar RM70,000 kepada syarikat
berkenaan.
Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham yang mewakili Felda dan FGV,
berkata beliau tidak membantah rayuan perayu dan menambah syarat perjanjian itu
ditetapkan mengikut perintah persetujuan.
Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel itu
menerima perintah persetujuan itu. Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk
Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Suraya Othman.
Pada 5 Dis 2017, Mahkamah Tinggi menaikkan jumlah ganti rugi
daripada RM70,000 kepada RM2 juta selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan
oleh Felda dan FGV.
Pada 13 Feb tahun lepas, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi
Norfauzani Mohd Nordin, dalam menilai ganti rugi itu, memerintahkan Dr Wan
Azizah, Syed Husin dan Rusnizam membayar RM70,000 kepada Felda dan FGV.
Felda dan FGV memfailkan saman fitnah pada 16 Ogos 2010
berhubung dua laporan berita yang diterbitkan oleh Suara Keadilan pada 22 Jun
dan 29 Jun.
Pada 30 Sept 2014, bekas editor Suara Keadilan Dzulkarnain
Taib, yang pada mulanya dinamakan seorang daripada defendan, memohon maaf
kepada Felda dan FGV.
Pada 17 Okt 2014, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman
memihak kepada Felda dan FGV selepas memutuskan bahawa Felda sebagai badan
berkanun mempunyai hak untuk memulakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen
15(1) Akta Pembangunan Tanah 1956. - Bernama
Post a Comment