Header Ads

wajib ada perakuan, kebenaran khas untuk melakukan kerja dakwah diPahang



KUANTAN: Semua penceramah bertauliah dan penceramah bebas wajib memperoleh Perakuan Kebenaran Mengajar atau Kebenaran Khas Berceramah jika ingin melakukan kerja dakwah di Pahang, bermula tahun depan.
Mereka boleh mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran itu melalui sistem dalam talian yang disediakan MajlisUgama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan melayari laman web eperakuan.muip.gov.my.

Loading...

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, keputusan untuk mewajibkan penceramah mendapatkan perakuan dan kebenaran khas itu dibuat bagi memudahkan proses pemantauan oleh pihaknya dan Pejabat Mufti Pahang.
"Keputusan ini adalah merujuk kepada Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 (Enakmen No 11/2013) dan secara jelas disebut dalam Seksyen 112(3) dan Seksyen 116 bahawa Jawatankuasa mempunyai kuasa mengeluarkan surat kebenaran bagi maksud mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan menarik balik kebenaran itu; dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang atas nasihat MUIP boleh mengeluarkan pemberitahuan melalui penwartaan enakmen berkenaan.
"Kaedah-kaedah perakuan mengajar agama Islam di Pahang sudah diwartakan pada 26 Oktober 2017 dan MUIP akan melaksanakan dengan lebih tegas bermula tahun depan... maknanya, siapa sahaja yang berminat untuk berceramah atau mengajar agama Islam di Pahang, perlu memiliki sama ada Perakuan (kebenaran mengajar) atau Kebenaran Khas (berceramah)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Taklimat Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam Negeri Pahang di sini, malam tadi.
Taklimat turut dihadiri Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; Setiausaha MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussin dan semua kadi daerah di Pahang.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Abdul Wahid berkata, proses kelulusan bagi mendapatkan perakuan kebenaran mengajar itu mengambil masa kira-kira sebulan, manakala bagi kebenaran khas pula boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam.
Katanya, permohonan bagi perakuan kebenaran mengajar disaring oleh MUIP dengan kerjasama Pejabat Mufti Pahang dan sebaik diluluskan, perakuan itu sah digunakan bagi tempoh dua tahun, namun pihak MUIP boleh menarik balik kelulusan terbabit jika pemohon melanggar peraturan ditetapkan.
"Bagi kebenaran khas mengajar, permohonan boleh diluluskan segera dan ia tertakluk kepada budi bicara kadi daerah... mereka (kadi daerah) boleh mengeluarkan kebenaran khas itu selepas memaklumkan dan mendapat persetujuan dari Pejabat Mufti negeri," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan ramai penceramah bertauliah dan penceramah bebas ke Pahang bagi menyuburkan lagi perkembangan dakwah dan budaya ilmu di negeri ini.

"Kita tidak menghalang mereka (penceramah bertauliah dan penceramah bebas) untuk datang dan berkongsi ilmu yang ada dengan umat Islam di negeri Pahang... selagi mereka mematuhi peraturan ditetapkan, tidak menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah; tidak menyentuh hal berkaitan kedaulatan Yang Dipertuan Agong dan Sultan Pahang atau negeri lain; selagi tidak menyentuh isu politik kepartian... tidak ada masalah, kita alu-alukan kedatangan mereka," katanya.
-Berita Harian

No comments


Loading...