Header Ads

UMNO Sabah bebas untuk buat keputusan -Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan ketika melancarkan Proton SUV X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau berkomplot dengan pemimpin tertentu dalam Umno untuk menarik barisan kepimpinan Umno Sabah bertindak keluar daripada parti di negeri itu.

Perdana Menteri berkata pemimpin Umno Sabah mempunyai fikiran sendiri dan mereka bebas untuk kekal bersama Umno atau meninggalkan parti itu.

Loading...


“Mereka mahu keluar. Mereka ada fikiran dan pandangan tersendiri. Jika mereka tidak mahu keluar, mereka boleh kekal dalam Umno,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Terdahulu, keseluruhan jawatankuasa perhubungan Umno negeri termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua Bahagian negeri keluar daripada parti itu.

Hajiji dalam sidang media di Kota KInabalu hari ini mengumumkan bahawa beliau bersama lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Senator meninggalkan parti Umno dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Dr Mahathirr, yang juga Pengerusi PH, bagaimanapun, mengesahkan beliau telah menemui beberapa pemimpin Umno Sabah, baru-baru ini.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin tersebut mahu mengadakan pertemuan dengan beliau untuk menyampaikan hasrat mereka untuk meninggalkan Umno .

“Memang mereka datang dan memaklumkan bahawa mereka mahu meninggalkan Umno,” katanya.



Ditanya sama ada PH akan menerima bekas pemimpin Umno Sabah dalam mana-mana parti komponennya, Dr Mahathir berkata mereka perlu kekal sebagai wakil rakyat bebas dan pada masa sama menunjukkan sokongan kepada kerajaan.

“ Saya tidak tahu….ia bergantung pada sikap mereka. Jika mereka menyokong dan tidak melakukan kesalahan pada masa lalu, kita akan terima mereka,” katanya. - Bernama

No comments


Loading...