Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, bekas CEO
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membuat dua
laporan polis terhadap bekas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua
bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan
Abdullah serta pengurusan kanannya.
Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi
Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat
Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan
Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.
Loading...
Dalam kenyataan dikeluarkan TH, laporan polis pertama
berkaitan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22
juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik, lapor BH Online lagi.
Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.
Pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee,
Johan, Adi Azuan dan Rozaida.
YTH ditubuhkan pada 2016 untuk mengambil alih dana
kemanusiaan dan menyumbang kepada yang kurang berkemampuan, miskin dan
memerlukan.
TH menyumbang sebanyak RM7 juta melalui program itu.
Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan
Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan
penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations
yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo
Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910
juta (RM3.8 billion) pada 2012.
PT TH Indo Plantations memiliki sejumlah 83,000 hektar
ladang kelapa sawit di Indonesia.
Laporan polis yang dibuat hari ini adalah siasatan dalaman
pertama pengurusan baharu yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap transaksi
masa lalu.
Post a Comment