Header Ads

Subsidi RMR1M diguna tanpa kelulusan

gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Sejumlah RM279.20 juta dana daripada kerajaan bagi tujuan menanggung subsidi kos pembinaan 13,960 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) digunakan untuk tujuan lain tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, turut mendedahkan bilangan RMR1M yang dibina sehingga 31 Disember 2017 juga masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.

Loading...


"Pembinaan RMR1M masih belum mencapai sasaran kerana hanya 24,057 unit telah dibina manakala 8,145 unit masih dalam pembinaan berbanding 44,152 unit yang patut dibina.  

"Pembayaran kepada kontraktor juga tidak mengikut tempoh yang ditetapkan dan kualiti RMR1M yang dibina juga tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan," kata laporan itu.

RMR1M merupakan antara dua kategori di bawah Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibina oleh  subsidiari Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), SPNB Mesra Sdn Bhd.  

Menurut laporan itu, amalan tadbir urus SPNB Mesra adalah memuaskan dan pada keseluruhannya kedudukan kewangan SPNB Mesra adalah stabil walaupun syarikat merekodkan kerugian bagi tempoh 2014 hingga 2016.

“Namun, terdapat keperluan untuk penambahbaikan dalam aspek komposisi ahli lembaga pengarah, penyediaan pelan perniagaan, pembayaran elaun tetap, elaun mesyuarat dan kemudahan pengerusi,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 itu juga mengesyorkan supaya Lembaga Pengarah SPNB Mesra memberi pertimbangan menggunakan dana subsidi untuk tujuan pembinaan RMR1M bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.


“Pihak Audit juga mengesyorkan supaya harga yang ditawarkan kepada kontraktor dikaji semula agar mengikut harga pasaran terkini dan bayaran kepada kontraktor dibuat supaya objektif membantu, membangun dan memperkasa kontraktor Bumiputera (dapat) dicapai,” katanya. - Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...