Header Ads

SPR lapor polis, 62 calon gagal serah penyata PRU14


PUTRAJAYA — Seramai 62 orang calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gagal menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya masing-masing, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

“Jumlah ini meliputi 14 orang calon bagi bahagian pilihan raya Parlimen dan 48 orang calon bagi bahagian pilihan raya DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Loading...
Menurutnya, Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 menetapkan bahawa calon-calon yang bertanding atau  ejen pilihan rayanya hendaklah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan PRU-14 yang diwartakan pada 28 Mei tahun ini (2018).

Tarikh akhir penyerahan penyata perbelanjaan PRU14 ialah pada pada 28 Jun lepas, katanya.

 “Sehubungan dengan itu, SPR telah membuat laporan polis terhadap calon-calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan mereka bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang,”katanya.

Pada PRU14, SPR telah menerima sebanyak 687 pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 1,646 pencalonan bagi kerusi DUN, katanya.

Menurut Azhar, selaras dengan Seksyen 23 AKPR 1954, terdapat implikasi terhadap calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan.

Antaranya tidak boleh menghadiri sidang atau mengundi dalam Dewan Rakyat atau DUN, tidak boleh menyertai mana-mana pilihan raya selama tempoh lima tahun dan boleh didakwa dan diambil tindakan atas perbuatan yang menyalahi undang-undang, katanya. — Bernama

No comments