Header Ads

Seleweng dana Tabung Haji, Asyraf Wajdi pergi mana? soal ARMADA Bersatu


Menteri-menteri yang bertanggung jawab terhadap Tabung Haji, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – Foto MalaysiaDateline

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu salah guna kuasa dilakukan bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH).


Loading...
Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin, berkata sayap BERSATU itu mahu UMNO terutama Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwa Agama) bersuara mengenai dakwaan penyelewengan dalam TH.

“Mana pergi Pemuda UMNO dan Dr Asyraf sewaktu penyelewengan ini berlaku? Kenapa terus diam dan tidak bersuara menegakkan keadilan demi agama dan bangsa?

“Dr Asyraf sebelum ini adalah Timbalan Menteri Agama, beliau bertanggungjawab untuk memastikan hak agama Islam seperti ini terjaga, mengapa biarkan dan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata?” soalnya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya hari ini.

Menurut Ulya Aqamah, laporan polis dibuat TH terhadap bekas pengurusan tertinggi lembaga itu termasuk Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, amat memeranjatkan.

“Kemungkaran yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada Asyraf sewaktu beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Usah hipokrit dan memilih isu, nyatakan sama ada Pemuda UMNO bersetuju atau tidak dengan salah guna dana yang berlaku di dalam Tabung Haji.

“Mengapa biarkan nasib pencarum yang rata-ratanya orang Islam dan Melayu diperkotak-katikkan oleh permainan rakus ahli politik UMNO?” soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Ulya Aqamah berkata, terdapat kira-kira 9.3 juta pencarum TH yang rata-ratanya adalah orang Islam bergantung harap kepada TH bagi menyempurnakan ibadah haji mereka.

“Malangnya, lebih RM22 juta wang digunakan untuk program politik. Maklumat sebenar mengenai penjualan 95 peratus pegangan dalam syarikat PT TH Indo Plantations pula disembunyikan.

“Ini adalah penyelewengan dan penipuan yang terang-terangan mencuri duit rakyat dan saya pasti ini baru yang permukaan sahaja, masih banyak kebobrokan yang berlaku jika didalami,” katanya

Justeru itu, ARMADA menggesa pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh penyelewengan dan mengembalikan hak dan wang rakyat yang disalah gunakan.

Semalam TH membuat dua laporan polis terhadap Abdul Azeez, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya berkaitan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Laporan polis kedua dibuat berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012. – Sumber NSTP

No comments

Loading...