Header Ads

PM: Kapal Malaysia kekal di kawasan pertikaian

Foto oleh Bernama

Malaysia akan kekal meletakkan kapal miliknya di kawasan pertikaian sempadan perairan Malaysia-Singapura, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loading...

Dr Mahathir berkata kapal milik negara akan terus berada di kawasan pertikaian itu sehingga proses perundingan melibatkan kedua-dua negara selesai.
"Kita akan runding dengan Singapura, kita tidak mahu lawan dengan Singapura…Kadang-kadang ada pertindihan (tuntutan) tapi kita boleh selesaikan perkara ini melalui rundingan.


"Pada masa ini, disebabkan tidak ada keputusan maka kapal-kapal terbabit berada di situ, kapal Singapura berada di situ, kapal Malaysia juga berada di situ," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Juara-juara Antirasuah: Sesi Perkongsian dengan Pemenang Anugerah Cemerlang Antirasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani 2018 di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Dalam pada itu Dr Mahathir berkata perundingan berhubung isu tersebut akan disegerakan oleh Kementerian Luar.
Ketika ditanya bila perundingan itu akan berlangsung, Dr Mahathir menjawab ringkas: "Sekarang…secepat mungkin.”
-Bernama

No comments


Loading...