Header Ads

PH perlu fokus membela nasib rakyat, henti tunding jari



KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kononnya wujud rancangan menggulingkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya sekadar pendapat peribadi.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata tidak timbul isu mahu menggulingkan Perdana Menteri sebaliknya PH perlu memberi fokus terhadap membela nasib rakyat.

Loading...

“Ini sekadar pendapat peribadi dan lihat kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Dr Mahathir.
“Saya menggesa semua pihak supaya tidak terlalu memberi fokus terhadap politik kepartian kerana rakyat kini mahukan bantuan, sokongan dan pembelaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini mendakwa terdapat rancangan oleh ‘puak’ yang tidak bertanggungjawab dan kecewa kerana tidak mendapat jawatan mahu menggulingkan Dr Mahathir.
Beliau turut menggesa pihak terbabit supaya tidak bersikap kurang ajar kerana Perdana Menteri sedang bertungkus-lumus membangunkan semula negara dan memerlukan sokongan semua pihak.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, isu rakyat perlu dijadikan keutamaan sejajar dengan semangat Malaysia Baharu.

“Saya sendiri di kawasan Parlimen memberi fokus bagi mencari penyelesaian kepada masalah rakyat. Berhentilah menuding jari dan jadikan isu membela rakyat sebagai perkara penting,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke ketika dihubungi, enggan mengulas mengenai perkara itu.
-Berita harian

No comments