Header Ads

Pertuduhan kedua dibacakan semula, Ku Nan mengaku tidak bersalah

Tengku Adnan hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi mendengar sebutan semula kes rasuah berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 2013. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari pertuduhan menerima rasuah wang RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung tugas rasminya.  

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim untuk melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan, 68, dari pertuduhan kedua yang didakwa ke atasnya sebelum ini.

Loading...


Tengku Adnan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, pada 15 November lalu namun pertuduhan itu dibacakan dan direkodkan semula

“Kami mendapati fakta dalam pertuduhan itu (pertuduhan pertama dan kedua) tidak berkaitan  dan tidak sewajarnya dibicarakan bersama, sehubungan itu pertuduhan kedua akan dibacakan semula secara berasingan,"kata Julia.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan tidak membantah permohonan tersebut.

Bagaimanapun beliau memohon wang jaminan RM1 juta yang dikenakan terhadap anak guamnya bagi kedua-dua pertuduhan sebelum ini dikurangkan kepada RM500,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan kedua terhadap Bendahari Umno itu dibacakan  semula dan Tengku Adnan mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd no akaun ‪8001179747‬ yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan, yang mana diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun 2016, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jan 2019 untuk sebutan semula kes.

Pada masa yang sama mahkamah membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk mendapatkan sementara pasportnya yang diserahkan kepada mahkamah bagi membolehkan Tengku Adnan mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Melbourne, Australia.



Menurut Hock Chuan berkata, anak guat mempunyai beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan temujanji itu telah ditetapkan lebih awal iaitu sebelum tertuduh didakwa selain pakar yang akan merawat Tengku Adnan juga telah dinamakan.

Azman membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula hari ini dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada 7 Jan 2019.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada tahun 2013.

-sinar harian

No comments