Header Ads

Pertemuan 'sekret'?

Kadir melalui Facebooknya menjelaskan bahawa gambar tersebut diambil ketika pertemuan bersama Dr Mahathir pada 22 Oktober lalu.


SHAH ALAM - Hari ini tular dua keping gambar di media sosial yang memperlihatkan pemimpin kanan Umno mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara pemimpin itu adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Loading...


Mereka dilihat bergambar sambil berdiri bersama Dr Mahathir.

Sekeping lagi gambar memperlihatkan lima pemimpin itu sedang menikmati juadah makan malam di meja makan.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui laman Twitternya sempat menciap dua perkataan seakan mengusik iaitu; “Pertemuan sekret”.

Mungkin Ahli Parlimen Rembau itu cuba bergurau atau sengaja mengeja perkataan ‘secret’ (rahsia) kepada ‘sekret’.

Gambar itu tular selepas berlaku kepincangan dalam Umno Sabah yang memperlihatkan sebahagian besar pimpinan negeri itu bertindak keluar parti, semalam.

Menceritakan kejadian sebenar berhubung gambar tular itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkata, gambar itu tulen tetapi pertemuan itu berlaku pada 22 Oktober lalu.

“Gambar yang ditularkan di media sosial ini tulen. Ceritanya begini. Ia berlaku pada 22 Oktober atas pemintaan watak-watak dalam gambar ini. Perdana Menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.

“Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun. Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat. Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November, Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pemimpin parti politik berjumpa dengan Dr Mahathir adalah perkara biasa termasuklah keluar parti namun tidak untuk jenayah.

“Jumpa Perdana Menteri perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah,” katanya.

Bekas Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga sebelum ini mengesahkan berjumpa Dr Mahathir pada 18 September lalu.


Selepas BN tewas dalam PRU14, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut bertemu dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir menjelaskan dalam pertemuan itu Ahmad Zahid menyatakan sokongan kepada kerajaan selain meminta pandangan bagaimana ingin memulihkan Umno.

-sinar harian

No comments