Header Ads

Permintaan PM kepada penganjur perhimpunan esok



SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan penganjur himpunan ummah bersempena kejayaan membantah ratifikasi ICERD esok memastikan tidak berlaku sebarang kekecohan.

Perdana Menteri juga mengingatkan peserta supaya menjaga kebersihan sepanjang himpunan.

Loading...


“Cuma satu sahaja permintaan kerajaan iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain di dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

“Jika boleh jangan membuang sampah di merata-rata tempat dan jagalah kebersihan,” katanya dalam satu video ringkas berdurasi sekitar dua minit yang disiarkan melalui saluran Chedet Official.

Menerusi video itu, Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip-prinsip demokrasi.

“Walaupun Kabinet telah menetapkan pada 23 November lalu bahawa kerajaan Malaysia tidak akan meratifikasikan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi) saya diberitahu rancangan untuk mengadakan himpunan menolak ICERD masih diteruskan esok.

“Saya tidak nampak perlunya himpunan itu diteruskan. Walau bagaimanapun beberapa pihak menyatakan ianya diteruskan sebagai tanda kesyukuran di atas kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen itu.

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan,” katanya.


Dalam video itu juga, Dr Mahathir turut mendoakan agar perhimpunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebatang gangguan.

“Marilah kita bersama-sama meraikan demokrasi di Malaysia,” katanya lagi.

-sinar harian

No comments

Loading...