Header Ads

Pemuda Umno sokong Tun Mahathir



KUALA LUMPUR - Pemuda Umno menyokong ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak mahu usaha murni pejuang-pejuang negara terdahulu dimusnahkan.

Loading...


"Pemuda Umno menyambut baik ketegasan Perdana Menteri menolak usaha segelintir anggota di dalam kerajaan PH yang ingin mengembalikan pilihan raya PBT. Pada masa yang sama,  saya rasa janggal melihatkan reaksi pimpinan PH khususnya DAP yang bermati-matian memperjuangkan isu ini seumpama ada maksud tersirat di sebaliknya.

"Pemuda Umno tidak mahu usaha-usaha murni pejuang-pejuang negara terdahulu untuk menstabilkan struktur sosio-ekonomi rakyat dipunahkan oleh rancangan jahat DAP yang ingin menguasai pusat kegiatan ekonomi negara sekali gus menyisihkan orang Melayu dan Bumiputera secara sistematik dan terancang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahathir mengatakan kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya PBT berikutan kebimbangan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Menurut Asyraf, Malaysia terpaksa mewarisi implikasi daripada usaha kemerdekaan iaitu kesan dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah kolonial British.

"Orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung dan menjalankan kegiatan ekonomi setempat seperti pekebun dan nelayan, orang Cina di bandar-bandar di mana mereka akan berdagang dan berniaga manakala orang India di ladang-ladang estet.

"Dasar ini membenihkan sikap prejudis antara kaum walaupun sedikit sehinggalah ke hari ini," katanya.
Katanya Umno menggantung pilihan raya PBT bagi mengelakkan konflik antara kaum menjadi lebih serius.

"Kemuncaknya apabila tragedi 13 Mei 1969 berlaku, ia menyedarkan negara bahawa satu pelan radikal diperlukan untuk menstruktur kembali landskap sosio-ekonomi negara tanpa mengira kaum iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Melalui dasar asas ini, kerajaan ketika itu secara perlahan-lahan membawa orang-orang Melayu untuk berpindah ke bandar, kerajaan memperkasakan Kolej RIDA-MARA dalam usaha mencipta golongan profesional.

"Kerajaan juga menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada tahun 1971 untuk membangunkan projek perumahan untuk bumiputera di bandar khususnya Kuala Lumpur," katanya.

Katanya melalui usaha itu, orang Melayu dan Bumiputera mula mendapat pemilikan di samping masyarakat Cina di bandar-bandar.



"Bukan sahaja bangunan kediaman, malah pusat-pusat komersil dan bangunan pejabat kini ada yang dimiliki oleh orang Melayu. Maka di sinilah orang Melayu harus berwaspada dengan percaturan licik DAP.

"Sekiranya pilihan raya PBT diadakan semula, mereka amat yakin untuk menguasai PBT-PBT di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan lain-lain tanpa memerlukan wakil orang Melayu," katanya.

-Sinar harian

No comments