Header Ads

Pemandu bas dipukul kerana salah faham.



KUANTAN: Seorang pemandu bas ekspres dipukul sekumpulan lima lelaki di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang, arah timur, dipercayai kerana salah faham.
Video kejadian kira-kira jam 1.30 pagi semalam itu tular sejak malam tadi.

Loading...

Video berdurasi 1 minit 49 saat itu menunjukkan mangsa yang berpakaian serba hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh kumpulan lelaki terbabit.
Kejadian di kawasan tempat letak kenderaan itu turut disaksikan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan itu.
Difahamkan kejadian berpunca akibat salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa mengasari seorang pelayan kedai di R&R itu sebelum pelayan berkenaan memaklumkan kepada abangnya.
Bagaimanapun, ada dakwaan mengatakan pemandu bas berkenaan tidak mengasari pelayan kedai di R&R Gambang.


Sementara itu, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan ANIH Berhad, dalam satu kenyataan, memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.
“Kami juga menyiasat video insiden antara kakitangan gerai R&R terbabit dengan seorang pemandu bas ekspres dengan lebih terperinci.

“ANIH Berhad kesal dengan kejadian berlaku dan tidak akan berkompromi dengan kakitangan gerai terbabit sekiranya didapati bersalah.
“Sekiranya didapati bersalah kakitangan gerai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat,” menurut kenyataan itu.
-Berita Harian

No comments