Header Ads

PAS harap pendedahan penyelewengan TH bukan untuk balas dendam



KUALA LUMPUR: PAS berharap pendedahan berhubung penyelewengan didakwa berlaku dalam Tabung Haji ketika ini bukan direka tanpa bukti kukuh oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) UNTUK ‘membalas dendam’ terhadap kerajaan lama.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang langkah bagi memperbetulkan TH sebagai satu institusi penting umat Islam di Malaysia.

Loading...

Namun, katanya, semua pihak ternanti-nanti untuk melihat fakta dan bukti penyelewengan yang didakwa berlaku dalam TH.
“Bagi setiap kesalahan, penyelewengan atau salah laku yang mempunyai bukti kukuh dan saksi, perlulah dibawa ke muka pengadilan mengikut tatacara penyiasatan dan pendakwaan yang telus.
“Kita tidak mahu ianya ‘dihukum’ oleh orang ramai melalui persepsi dan olahan media massa serta kenyataan politik yang mengelirukan, malah menambah buruk keadaan.
“Justeru, kaedah Islam dan pengadilannya, mana-mana pihak yang dituduh, tidaklah boleh dihukum bersalah sehingga jelas terbukti mereka bersalah melalui proses penghakiman yang adil dan telus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nasrudin juga berkata, PAS berharap pendedahan berkenaan bukan untuk mengalih perhatian rakyat terutamanya masyarakat Islam dan Melayu daripada Himpunan Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan Sabtu ini.
“Lebih malang lagi sekiranya ia (pendedahan) dibuat dengan niat tidak baik dan mempunyai agenda tertentu untuk meruntuhkan satu institusi Islam serta menghilangkan keyakinan umat Islam terutamanya pendeposit terhadap TH.
“Salah tetap salah. Tiada kompromi pada yang salah, namun tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini,” katanya.

Jumaat lalu, TH membuat laporan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini membabitkan bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta kakitangan pengurusan kanan.
Kakitangan kanan itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid serta Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff
-Berita Harian

No comments

Loading...