Header Ads

Nurul Izzah pilihan terbaik ganti Waytha Moorthy



KUALA TERENGGANU: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu mahu Nurul Izzah Anwar menggantikan Senator P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ketuanya, Mohd Hasbie Muda, berkata Nurul Izzah adalah pilihan terbaik sebagai Ahli Parlimen bagi jawatan berkenaan susulan pelbagai kontroversi perkauman membabitkan Waytha Moorthy sebagai Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, baru-baru ini.

Loading...

Beliau berkata, suara orang ramai semakin kuat supaya pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu digantikan.
“Saya percaya Nurul Izzah, seorang ahli politik yang semakin naik, mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi seorang menteri, kerana beliau ia lebih memahami pandangan rakyat dengan pendekatan yang sederhana.
“Beliau juga berjaya membuktikan kehebatannya di kawasan Parlimen majoriti Melayu Permatang Pauh dan kawasan Lembah Pantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nurul Izzah sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Hasbie berkata, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memilih Waytha Moorthy sebagai menteri dan mempunyai hak istimewa untuk mengekalkannya dalam Kabinet, terdapat pandangan yang berbeza oleh netizen dengan lebih 300,000 menandatangani petisyen untuk menggantikan beliau.
“Waytha Moorthy mungkin pilihan yang layak apabila dilantik sebagai menteri, tetapi tindakannya dalam melaksanakan tugas secara konsisten kini menjadi pertikaian.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab yang mendengar pandangan orang awam, sudah tiba masanya untuk Waytha Moorthy berehat,” katanya.
Hasbie berkata demikian mengulas permintaan yang semakin tinggi mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan selepas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Muhammad Adib, 24, meninggal dunia akibat kecederaannya malam Isnin lalu ketika dirawat di Unit Rawatan Intensif Institut Jantung Negara (IJN) selama tiga minggu.

Muhammad Adib didakwa diserang ketika bertugas semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 26 November lalu.
Berikutan rusuhan itu, Waytha Moorthy, bersama tiga menteri lain, menyalahkan pihak polis kerana lambat bertindak balas terhadap pertembungan penyokong kuil itu dengan kumpulan lain yang dikatakan mewakili pemaju yang memiliki tanah kuil itu.
-Berita Harian

No comments