Header Ads

Najib tiba di SPRM untuk dirakam keterangan

IBU Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai untuk dirakam keterangan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Loading...

Semalam, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dirakam keterangan oleh SPRM juga bagi membantu siasatan berhubung kes sama.
Semalam, sumber memberitahu NSTP, SPRM masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.
Sumber berkata, semua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak minggu lalu.
Katanya, selain Dzulkifli, individu yang sudah dirakam keterangan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda; pegawai Jabatan Audit Negara dan pegawai Kementerian Kewangan.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.
Antara pengguguran maklumat itu adalah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.


Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; Ali dan Arul.
Turut terbabit ialah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. 
-Berita Harian

No comments

Loading...