Header Ads

Mengeluarkan kenyataan provokasi, Azwanddin direman 4 hari



KLANG: Mahkamah Majistret Klang hari ini membenarkan perintah tahanan reman terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah Ariffin Abu Bakar, selama empat bermula hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Loading...

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dijalankan terhadap beliau berhubung kenyataan provokasi dalam ‘Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy’ petang Selasa lalu.


Siasatan Azwanddin dibuat mengikuti Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Azwanddin yang berkemeja biru tiba di Mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi tadi.
Bagaimanapun ketika turun dari trak polis, beliau hampir tersungkur akibat tersadung kerana tahanan yang berkongsi gari dengannya berjalan terlalu laju.
Sementara itu, peguam beliau, Datuk Imran Tamrin, ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah berkata Azwanddin ditahan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
"Pihak polis mengemukakan sebab-sebab kenapa Datuk Azwanddin ditahan reman, seperti mana polis maklumkan pada mahkamah hari ini, mereka memerlukan siasatan terperinci dan memerlukan laporan risikan berkenaan dengan diri Datuk Azwanddin.
"Kita sudah buat bantahan, tidak sepatutnya mengambil tempoh terlalu lama tetapi kita harap dalam tempoh empat hari ini sekiranya polis berjaya menyelesaikan segala proses dokumentasi, kenyataan dan sebagainya.
"Polis pada bila-bila masa saja boleh melepaskan beliau walaupun tidak cukup empat hari," katanya.
Imran berkata, empat hari adalah tempoh yang dibenarkan mahkamah majistret tetapi pihaknya berharap perkara ini boleh selesai segera sebelum tempoh terbabit.
"Kita yakin dengan integriti dan kecekapan pihak polis dan pegawai siasatan polis untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin," katanya.
Pada 25 Disember lalu, ketika berucap pada perhimpunan aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' di Dataran Klang, Azwanddin dikatakan mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Tindakan itu menimbulkan perasaan tidak senang penganjur perhimpunan aman itu, Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS), yang kecewa dengan kenyataan provokasi.
Malah, Pengerusi GERAS, Abu Bakar Mohamed, mengeluarkan kenyataan bahawa, Azwanddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu memandangkan beliau sudah menegaskan tiada kenyataan provokasi boleh dikeluarkan membabitkan perhimpunan aman itu.
-Berita Harian

No comments