Header Ads

MCA tiada hak bubar BN - Ahmad Zahid



KUALA LUMPUR: MCA tidak berhak membubarkan Barisan Nasional (BN) kerana keputusan itu sepatutnya dilakukan secara kolektif dan sebulat suara dalam kalangan semua parti komponen.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun perkara itu cenderung sebagai sekadar rancangan ketika ini, MCA tidak mempunyai hak berbuat demikian dan perlu duduk semeja berbincang sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

Loading...

“Sebagai satu daripada lima parti teras, MCA seharusnya berbincang dulu mengenai cadangan pembubaran BN, bukannya bertindak sendiri.
“Mereka tidak mempunyai hak melakukan sedemikian kerana keputusan perlu dibuat secara konsensus.
“MCA ada datang berjumpa saya berhubung cadangan ini (pembubaran BN), namun kita belum berbincang dengan parti komponen BN yang lain,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Ahmad Zahid turut menasihatkan MCA jika parti itu mahu kekal dalam landskap politik negara selepas ini.
Menegaskan UMNO menghormati cadangan dan pendirian MCA, beliau berkata, pada masa sama MCA perlu menyedari kedudukan semasa mereka.
“MCA cuma ada seorang wakil di Dewan Rakyat dan itu pun kerusi yang majoritinya Melayu, maka saya pasti mereka tahu mengenai kedudukan itu sebenarnya,” katanya.

Semalam, Perhimpunan Agung MCA Ke-65 sebulat suara memberi kuasa kepada Jawatan Kuasa Pusat (CC) parti itu bagi memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dilaporkan berkata keputusan dicapai sebulat suara dalam kalangan 1,636 perwakilan yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

-Berita HariaHarian

No comments

Loading...