Header Ads

Kesatuan sekerja perlu berubah sikap - Dr Mahathir

TUN Dr Mahathir berjabat tangan dengan deligasi sebelum merasmikan Persidangan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS), di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir


SHAH ALAM: Kesatuan sekerja di negara ini perlu berubah sikap dengan tidak lagi berfungsi sebagai pengatur piket serta demonstrasi semata-mata, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kesatuan sekerja perlu mengamalkan kesederhanaan, bekerjasama dan bertoleransi dalam semua perkara, sekali gus menjadi penghubung yang baik antara pekerja dan majikan.

Loading...

"Dalam dunia hari ini, kesatuan sekerja sudah tidak boleh cuma menjadi juara pekerja dengan memberi desakan kepada majikan.
Peranan kesatuan sekerja hari ini lebih menjurus sebagai penghubung antara pekerja dan majikan. Selain itu, keperluan majikan terhadap pekerja juga turut berubah serta lebih kompleks.
"Pastinya peranan kesatuan sekerja melangkaui peranan tradisi. Kesatuan sekerja mesti memastikan ahlinya sentiasa berubah seiring dengan perkembangan semasa," katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Persidangan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS), di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, perubahan teknologi, automasi, robotik dan sebagainya yang begitu cepat, jika tidak ditangani dengan segera akan mengakibatkan pekerja ketinggalan serta menjadi tidak relevan.
"Kesatuan sekerja harus berkeupayaan untuk memahami perubahan yang berlaku serta memainkan peranan untuk memastikan pekerja tidak tertinggal apabila teknologi dan perubahan mendadak berlaku.
"Dalam konteks Pos Malaysia, saya difahamkan UPUS ditubuhkan sejak 1959 menjadikannya sebagai kesatuan tertua di Malaysia.
"Dengan keahlian UPUS hampir 7,000 orang,tentunya ia sebuah kesatuan yang dominan serta memainkan peranan mencorak keharmonian dalam perhubungan dengan syarikat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran masa kini memerlukan semua syarikat mempelbagaikan sektor perkhidmatan bagi memastikannya terus bersaing..
"Saya percaya mana-mana syarikat perlu terus berinovasi untuk terus kekal relevan. Perkara ini juga menuntut barisan kepemimpinan dan pekerja berubah demi untuk kepentingan semua," katanya.
-Berita Harian

No comments

Loading...