Perkara itu dimaklumkan oleh peguam K. Murali yang mewakili Bee Yin selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad di sini hari ini yang turut dihadiri peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad bagi pihak Jamal.

Loading...


“Kedua-dua pihak bersetuju untuk merujuk pertikaian ini ke pihak perantara bagi proses mediasi yang ditetapkan pada 20 Disember ini. Jika tiada sebarang penyelesaian, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan seperti mana ditetapkan sebelum ini iaitu pada 15 hingga 17 April depan,” katanya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Jamal selaku defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pihak defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan adalah seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.


Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan itu. 

- UTUSAN ONLINE.