Header Ads

Kes Dana Yayasan Tabung Haji: Satu lagi pengkhianatan era BN kepada umat Islam di Malaysia?

Abdul Azeez Rahim - Foto oleh Sinar Harian

Lewat petang semalam, Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusi, Abdul Azeez Rahim serta beberapa pengurusan kanannya yang lain.

Laporan pertama terhadap Yayasan Tabung Haji yang ditubuhkan pada 2016 kerana penyalahgunaan dana berjumlah RM22 juta untuk tujuan politik.


Loading...
Yayasan Tabung Haji yang pada asalnya ditubuhkan untuk tujuan kemanusiaan serta membantu golongn miskin dan kurang berkeupayaan, tetapi digunakan untuk tujuan politik adalah bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan yayasan berkenaan.

Lembaga pemenang amanah yayasan yang disasarkan dalam laporan polis itu ialah Abdul Azeez, bekas CEO Tabung Haji, Ismee Ismail, seorang lagi bekas CEO, Johan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan dan Ketua Pegawai Kewangan, Rozaida Omar.

Laporan polis kedua pula ialah terhadap Ismee serta dua yang lain iaitu Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Mohd Arif.

Ia berkaitan salah nyata dan menyekat maklumat berhubung penjualan saham Tabung Haji pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya, TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd kepada PT Borneo Pacific dengan harga AS$910 juta atau RM3.7 bilion.

PT TH Indo Plantations adalah sebuah syarikat yang memiliki 83,000 ladang kelapa sawit di Indonesia.

Kedua-dua laporan polis ini adalah hasil siasatan dalaman sejak pengurusan baru mengambil alih Tabung Haji bermula Julai lalu.

Berdasarkan kedua-dua laporan polis itu, terutama laporan polis yang pertama, nyata sekali bahawa sejak Abdul Azeez yang dilantik oleh Najib Razak menjadi Pengerusi Tabung Haji, dana pendeposit atau keuntungannya telah digunakan secara tidak wajar dan untuk tujuan politik pihak tertentu.

Tidakkah ini merupakan satu bentuk pengkhianatan kerana dana Tabung Haji tidak sepatutnya digunakan untuk sesuatu tujuan lain yang tiada kaitan dengan kepentingan pendeposit atau agensi itu sendiri?

Untuk kepentingan politik siapa dana Yayasan Tabung Haji sebanyak RM22 juta itu telah disalahgunakan?

Berkenaan laporan polis kedua, untuk tujuan apakah sekatan maklumat dilakukan dalam penjualan saham tersebut?

Adakah ia untuk tujuan mengambil keuntungan dan menutup sesuatu penyelewengan?

Dengan adanya laporan polis itu, keinginan ramai, khususnya pendeposit yang menyimpan wang dengan tujuan untuk menunaikan haji ke Mekah tidak lain ialah agar apa jua penyelewengan dan salah laku hendaklah dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.

Menyeleweng dana orang miskin yang menyimpan sedikit demi sedikit wang untuk menunaikan rukun Islam kelima adalah nyata perbuataan yang yang tidak boleh diterima, malah tidak keterlaluan kalau mahu dikata hanya sanggup dilakukan oleh  golongam "syaitan yang bertopengkan manusia" semata-mata.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Update.

No comments

Loading...