Header Ads

Kerajaan Kedah kenal pasti bantuan untuk keluarga Muhammad Adib

Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim berduka ketika jenazah tiba di Kedah pagi tadi. — Foto Bernama

ALOR SETAR — Kerajaan negeri Kedah akan mengenal pasti bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata buat masa ini, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan khairat kematian kepada keluarga Muhammad Adib.


Loading...
“Persiapan untuk upacara pengebumian sudah disiapkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tetapi kerajaan negeri akan terus melihat keperluan-keperluan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan rumah keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Ismail meminta rakyat tidak menjatuhkan hukuman sendiri berkaitan insiden yang menimpa Muhammad Adib dengan memainkan sentimen agama atau bangsa, sebaliknya membiarkan pihak berkuasa mengadili pesalah terlibat mengikut undang-undang.

“Kita sebagai rakyat perlu ambil iktibar kepada kejadian ini dan jangan sesekali menghukum dengan tangan sendiri. Jangan main sentimen agama atau bangsa,” katanya.

Dr Ismail bagaimanapun berkata kejadian seumpama itu sememangnya tidak harus berlaku kepada anggota bomba yang sedang melaksanakan tugas.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Tebengau Tepi Laut selepas Zuhur nanti. — Bernama

No comments