Header Ads

Kabinet arah kajian terperinci kaedah bayaran balik PTPTN, kata Wan Saiful


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuat kajian bagi mengenal pasti kaedah terbaik menangani isu pembayaran balik pinjaman pendidikan seperti diarahkan kabinet.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata kajian akan dilaksanakan bermula tahun hadapan setelah mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak.

Loading...

“Kita dalam proses untuk memulakan kajian dan dijangka perkara tersebut boleh dilaksanakan secepat mungkin awal tahun hadapan seperti yang diarahkan oleh kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perlis Motorday 2018 di Perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar hari ini.

Perlis Motorday 2018 ini anjuran Persatuan Muafakat Harapan Perlis (PMHPs) menghimpunkan 3,000 penunggang dari seluruh negara dan turut disertai kira-kira 300 peserta Singapura serta Thailand.

Semalam, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) agensi itu, Mastura Mohd Khalid dilaporkan sebagai berkata PTPTN akan mengadakan sesi keterlibatan bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai kaedah bayaran balik pinjaman pendidikan.

Sesi itu dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bulan sebelum kaedah bayaran itu diperkenalkan.

Wan Saiful berkata pada masa ini PTPTN masih meneruskan kaedah pembayaran balik pinjaman seperti biasa selagi tiada pengumuman baharu dibuat.

Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun pengumuman itu mendapat bantahan ramai terutama persatuan mewakili pelajar dan penuntut universiti yang mendesak syarat itu dikaji semula oleh PTPTN.

Pada 23 Nov pula, Kementerian Pendidikan mengumumkan potongan gaji bagi PTPTN akan dibuat sebaik gaji peminjam mencecah RM2,000 sebulan.

Kabinet memutuskan potongan gaji ke atas peminjam PTPTN pada kadar dua peratus atau RM40 sebaik gaji mereka mencecah RM2,000. Potongan akan meningkat secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji peminjam.

Pada 7 Dis, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan kerajaan menggantung pelaksanaan skim pembayaran semula berkenaan sehingga menerima input dan maklum balas secara kolektif daripada semua pemegang taruh. - Bernama

No comments