Header Ads

Hadi nafi wujud dua 'team' dalam kerajaan Terengganu



KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tidak wujud konflik antaranya dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Saya lantik dia, bertanding di kawasan saya di Dun Rhu Rendang, takkan senang-senang nak tukar.

Loading...


"Apa yang diperkatakan di media sosial tidak benar malah kedudukan kepimpinan kerajaan Terengganu sekarang stabil dan tiada apa-apa masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Memperingati Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyifatkan kenyataan bahawa wujudnya dua kumpulan dalam kepimpinan Kerajaan Negeri sebagai dakwaan tidak berasas.

"Dakwaan itu tidak benar, keadaan kerajaan sekarang stabil, tiada masalah dan tiada berlakunya perbezaan pendapat antara kita (Pas).

"Isu ini sengaja direka oleh pihak tertentu dan dakwaan bahawa maklumat datang daripada sumber Pas sendiri adalah tidak benar," katanya.


Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi turut menyangkal dakwaan bahawa isu wang royalti menyebabkan berlakunya konflik antara beliau dan Ahmad Samsuri.

"Hubungan Pas dengan Kerajaan Negeri baik, tiada masalah. Cerita ini sengaja direka sebab tiada modal.
"Saya hanya mahu ingatkan kepada pembuat cerita supaya ingat dosa," katanya.

-sinar harian

No comments

Loading...