Gesekan biola Siti Hasmah dituju khas buat Muhammad Adib
Foto oleh Shafwan Zaidon
KUALA LUMPUR — Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah
Mohamad Ali yang ditujukan khas oleh isteri Perdana Menteri itu buat anggota
bomba yang terkorban semasa bertugas, Muhammad Adib Mohd Kassim, ternyata
memukau para penonton konsert “Duo Lagenda” di Istana Budaya di sini malam
tadi.
Sebelum memulakannya, beliau menarik perhatian pada hadirin
dengan merujuk kepada majlis perkahwinan Muhammad Adib yang telah ditakdirkan
tidak berlangsung.
Loading...
"Hari ini pastinya ada satu majlis perkahwinan di
sebuah kampung di Kuala Kedah. Tapi hajat tidak kesampaian kerana pengantin
lelaki pergi menghadap Allah.
“Semoga mereka semua (keluarga) dalam keadaan sihat
sejahtera dan reda dengan aturan Allah," kata isteri Tun Dr Mahathir
Mohamad itu.
Para hadirin yang jelas tersentuh dengan suasana malam itu,
kemudiannya memberikan penghormatan dengan beramai-ramai berdiri di akhir
persembahan kira-kira 20 minit itu.
Muhammad Adib, 24, yang tercedera akibat oleh perusuh semasa
beliau hendak melaksanakan tugas memadam kebakaran semasa kejadian rusuhan di
kuil di Subang Jaya pada 27 November itu, meninggal dunia di Institut Jantung
negara pada 17 Disember.
Memulakan persembahan pada pukul 10.40 malam, Dr Siti Hasmah
tampak profesional menggesek biola untuk lagu Fatwa Pujangga secara solo
menerusi segmen khas di pertengahan konsert itu, sebagai persembahan iringan
kepada penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.
Beliau turut menggesek biola bagi lagu Engkau Laksana Bulan
dan Gubahanku sambil dinyanyikan secara duet oleh Jamal dan M. Nasir.
Dr Siti Hasmah mendahului persembahannya dengan memohon
penonton menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Adib.
Persembahan Dr Siti Hasmah berlangsung sempena malam VVIP
konsert itu, bertujuan mengumpul dana bagi mengisi Tabung Kasih Malaysia yang
dilancarkan Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-isteri Harapan
Malaysia (Kasih Malaysia).
Dalam konsert itu, Jamal dan M.Nasir mendendangkan seleksi
lagu popular mereka antaranya Cinta dan Tangis, Bicara Cinta, Aku Penghibur,
Kau Lupa Janji, Terharu, Cenderawasih, Gadis Melayu, Hati Emas, Hijab Kekasih,
Mustika, Apokalips, Gerhana serta Keronchong Untuk Ana, dan mereka turut
berduet menyanyikan beberapa lagi lagu termasuk Ghazal Untuk Rabiah.
Konsert yang bermula 20 Disember dan berakhir esok itu turut
menampilkan penyanyi undangan dari Australia, Cassidy Anderson.
Turut hadir menyaksikan konsert itu Menteri Pelancongan,
Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk
Mohamed Juhari Shaarani. — Bernama
Post a Comment