Header Ads

Empat rakan didakwa bunuh mak nyah di Klang

Foto Astro Awani

KLANG — Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang mak nyah di hadapan sebuah hotel di sini, 12 Dis lepas.

Kesemua tertuduh iaitu Low Shi Haur, 21; Tan Khim Siang, 19, dan dua remaja berusia 16 serta 17 tahun mengangguk faham akan pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah.

Loading...

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Kesemua mereka bersama seorang yang masih bebas, didakwa membunuh mangsa, 32, di hadapan sebuah hotel di Bandar Bukit Tinggi di Klang, kira-kira 7 pagi, 12 Dis lepas.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Idris manakala semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Akmal Jusoh, M. Varalehchumy dan G. Santiago.

Majistret kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 30 Jan depan dengan tidak membenarkan sebarang jaminan sebab mereka dituduh bagi kes bunuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang mak nyah berasal dari Sabah parah selepas dibelasah menggunakan senjata tumpul di hadapan hotel berkenaan.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan oleh seorang pengawal keselamatan premis terbabit dan kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Susulan kes itu, polis menahan empat suspek berusia 16 hingga 21 tahun bagi membantu siasatan. — Bernama

No comments