Kumpulan itu dalam memorandum mereka kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan desakan berkenaan sebagai ‘keji dan memalukan’ dan menjadikannya sebagai platform untuk memperjuangkan naratif kononnya rakyat Malaysia tidak dapat membebaskan diri daripada politik perkauman dan etnik.

Loading...


“Tindakan pihak yang menjadikan Waytha Moorthy sebagai kambing hitam terhadap rusuhan itu sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim bertujuan untuk mengalih masalah menghantui negara iaitu rasis dan pertikaian agama.

“Kami menolak pihak yang cuba membuli rakyat Malaysia menggunakan taktik ketakutan dan menyeru Waytha Moorthy tetap teguh serta komited dalam melakukan tugas beliau untuk berkhidmat kepada negara,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, memorandum itu diserahkan wakil kumpulan itu, Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari, G. Francis Siva kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sementara itu, Siti Zabedah atau dikenali sebagai Siti Kassim menggesa Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak campur tangan berhubung desakan Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Tegas Siti Kassim, Syed Saddiq selaku Menteri Belia dan Sukan perlu menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya menerusi penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri.

Menurut Siti Kassim lagi, Syed Saddiq dilihat berdolak-dalik terhadap penyerahan memorandum itu kerana sebelum ini tidak mengakui terlibat, sebaliknya beliau kemudian mempertahankan tindakan tersebut.

“Beliau (Syed Saddiq) sebagai seorang menteri sepatutnya mewakili seluruh rakyat Malaysia dan bukannya wakil Armada dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Pada masa sama, Siti Kassim mendakwa 300,000 petisyen yang menuntut Waytha Moorthy meletakkan jawatan tidak boleh dipercayai kerana ia mudah dimanipulasi oleh pihak mewujudkan tandatangan itu.


“Perkara ini juga berlaku terhadap jumlah kehadiran orang ramai dalam perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini, apabila tular di media sosial peserta perhimpunan didakwa wang RM200.

“Petisyen tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia, saya boleh buat seratus akaun emel dan hantar tandatangan petisyen ini,” katanya. 

- UTUSAN ONLINE