Header Ads

'Bukan tidak sayang UMNO' - Mas Ermieyati



AHLI Parlimen Masjid Tanah yang keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menjelaskan, beliau bukan tidak sayang UMNO tetapi lebih mengutamakan kelangsungan politik orang Melayu.

Beliau mendakwa, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 Mei lalu, orang Melayu menghadapi masalah perpecahan yang amat serius berikutan ada pelbagai parti yang mewakili perjuangan politik mereka.

Loading...


“Bukannya kita tidak sayang UMNO tetapi kita perlu memikirkan dalam konteks perjuangan orang Melayu.

“Ancaman perpaduan dalam kalangan orang Melayu sangat teruk dan bukannya kita mengkhianati perjuangan orang Melayu... kita perlu fikir ke mana kita orang Melayu selepas ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan borang keahlian BERSATU oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Kapten (B) Abdul Karim Sulaiman yang keluar UMNO dan menyertai BERSATU di kediaman Abdul Karim di Kampung Jeram, Masjid Tanah di Alor Gajah, hari ini.

Borang berkenaan diserahkan kepada Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Datuk Rafiq Naizamohideen. 

Mas Ermieyati berkata, walaupun agak canggung berada dalam program BERSATU sejak menyertai parti berkenaan, beliau mampu menyesuaikan diri demi perjuangan politik orang Melayu.

“Tadi saya hadir dalam majlis BERSATU di tempat lain, memang rasa agak canggung, maklumlah masih baru," katanya.


Sehubungan itu, beliau melahirkan keyakinan lebih ramai ahli UMNO akan menyertai BERSATU pada masa depan.

Mas Ermieyati menamatkan teka-teki hala tuju politiknya apabila menyertai BERSATU pada 13 Disember lalu selepas keluar daripada UMNO pada 1 Julai lalu.

-Metro online 

No comments