Header Ads

Bekas pegawai DoJ mengaku bersalah terbabit skandal 1MDB



NEW YORK : Seorang bekas pegawai di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) semalam mengaku bersalah atas tuduhan melanggar peraturan perbankan dalam cubaan mengelakkan pihak berkuasa AS meneruskan tindakan terhadap dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
DoJ dalam satu pengumuman berkata, George Higginbotham, 46, mengaku berbohong kepada beberapa bank di AS ketika membuat transaksi berjumlah jutaan dolar untuk membiayai kempen bagi pihak Low Taek Jho atau Jho Low yang juga dalang utama kes 1MDB.

Loading...

Pendakwa persekutuan pada Ogos lalu mendakwa Jho Low yang kini dalam buruan dengan lapan pertuduhan pengubahan wang. Beliau dituduh membantu penyelewengan AS$4.5 bilion (RM18.81 bilion) dari dana bantuan kerajaan Malaysia itu.
Menurut DoJ, Higginbotham mengaku menipu pihak bank, termasuk dengan mengeluarkan dokumen pinjaman dan rundingan palsu bagi menyembunyikan sumber sebenar dana.
DoJ mendedahkan, tujuan sebenar dana terbabit adalah untuk membiayai kempen melobi kerajaan AS bagi menyelesaikan kes jenayah dan sivil yang timbul dalam skandal 1MDB dan meyakinkan pihak berkuasa AS untuk menghantar pulang seorang warga asing ke negara asalnya.
“Higginbotham yang berkhidmat sebagai pegawai perhubungan antara jabatan berkenaan dan penggubal undang-undang AS sehingga Ogos lalu tidak terbabit dalam penyiasatan 1MDB dan ‘gagal mempengaruhi mana-mana aspek’ dalam hal itu,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu DoJ dalam satu pengumuman berasingan semalam berkata, jabatan berkenaan sedang dalam proses mendapatkan semula AS$73 juta (RM305 juta) yang ditahan dalam akaun bank Amerika, disahkan dibuka oleh Higginbotham dan Prakazrel ‘Pras’ Michael bagi Low, tahun lalu. - AFP

-Berita Harian

No comments

Loading...