Header Ads

Audit: 15 projek bekalan air kawasan Orang Asli Pahang gagal


Sebanyak 15 projek sistem rawatan air bernilai RM29.23 juta yang dibangunkan bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kawasan Orang Asli (KOA) Pahang tidak dapat digunakan sekaligus gagal memberi nilai tambah kepada masyarakat itu.

Perkara itu antara yang ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 berdasar pemeriksaan fizikal Audit pada Januari hingga Mac 2018 di 27 KOA yang disemak di negeri itu.


Loading...
Menurut laporan itu, masalah sumber air yang terhad, kontraktor penyelenggaraan tidak dilantik atau pembaikan lewat dibuat dikenal pasti antara punca projek itu tidak dapat digunakan.

"Ini telah menyebabkan rumah pam ditinggalkan terbiar dan peralatan seperti bateri generator dan air compressor hilang,” menurut laporan itu.

Antara yang terbabit ialah KOA Ulu Kenip, Belida Baru, Sg Mas, Lubuk Perah, Kuala Boh, Sg Loon, Menson dan Pathir yang terpaksa menggunakan sumber air dari perigi terbuka dan air hujan sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber air untuk kegunaan harian.

Manakala KOA lain juga menggunakan alternatif lain termasuk membuat paip pintasan (bypass) , sistem tubewell dan sistem tandak untuk mendapatkan sumber air bersih.

Program BALB di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bertujuan menyediakan dan memperluas liputan bekalan air bersih dan terawat supaya taraf kesihatan dan kualiti hidup masyarakat di kawasan luar bandar seluruh negara dapat dipertingkatkan dengan sasaran sebanyak 90 peratus liputan menjelang 2020.

Selain itu, laporan itu turut membangkitkan mengenai pertindihan program BALB yang dilaksanakan KPLB dan program Bekalan Air dan Kebersihan Alam (Bakas) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disifatkan perlu diteliti semula.

Selain itu, laporan berkenaan turut membangkitkan berkenaan perolehanan perkhidmatan lima unit kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dua unit motosikal bernilai RM1.07 juta serta perolehan peralatan (komputer, pencetak, kamera digital, mesin faksimili serta telefon) bernilai RM72,230 yang dilaksanakan dan dibuat tanpa kelulusan Jawatankuasa Perolehan Melalui Kontrak (JPMK).

Pihak audit juga mendapati caj tidak wajar sebanyak RM17,000 bagi penyediaan dokumen kontrak, tiket penerbangan, penginapan dan perbelanjaan untuk kakitangan awam telah dimasukkan dalam ‘preliminaries’ untuk dua kontrak.

Susulan penemuan itu, uudit antara lain mengesyorkan KPLB melaksanakan penilaian ‘outcome’ bagi memastikan peruntukan yang dibelanjakan dapat diukur keberkesanan pencapaiannya serta membuat pemantauan berkala terhadap status pengoperasian sistem air terawat yang dibangunkan.

KPLB dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai antara agensi pelaksana juga hendaklah melaksanakan kajian awalan yang teliti bagi memastikan sistem terbaik dilaksanakan supaya dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasaran selaras objektif yang ditetapkan. - Bernama

No comments

Loading...