Header Ads

Zambry mungkin dihalang ke DUN jika gagal hadir PAC Perak


IPOH, 24 Nov — Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak tetap akan mengadakan pendengaran awam pada prosiding melibatkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berhubung isu Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc).

Pengerusinya Leong Cheok Keng berkata ini kerana klausa dalam Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menyatakan arahan khusus berhubung penglibatan awam dalam prosiding PAC.


Loading...

“Kita menetapkan keputusan sendiri kerana kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Perintah Tetap DUN Perak adalah sangat luas dan tiada prosedur terperinci yang ditetapkan.

“Jadi, PAC sebagai satu jawatankuasa telah pun membuat keputusan bahawa pendengaran disaksikan awam mengikut prinsip telus, terbuka selain boleh dihadiri oleh media dan rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.



Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad yang menyatakan Zambry hanya akan menghadirkan diri ke sesi pendengaran berkaitan isu tersebut jika prosiding dibuat secara tertutup.

Menurut Saarani, PAC tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk bertindak selaku badan perundangan yang boleh mengadakan perbicaraan secara umum di hadapan khalayak.

Mengulas lanjut, Leong berkata PAC tidak menganggap Zambry pesalah, sebaliknya Anggota Dewan Undangan Negeri Pangor itu dipanggil sebagai seorang saksi.

Ditanya tindakan yang boleh dikenakan jika Zambry gagal menghadirkan diri, Leong berkata PAC tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman namun jawatankuasa itu boleh melaporkannya kepada speaker DUN.

“Sekiranya DUN melalui usul membuat satu keputusan kemungkinan speaker boleh ambil tindakan untuk gantung kehadiran beliau ke dewan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan PAC Perak akan mengadakan pendengaran awam tersebut pada Isnin ini. — Bernama

No comments

Loading...