Header Ads

Wakil rakyat PKR, Bersatu tidak termakan umpan, kata Dr Mahathir


Mempertahankan kenyataan sebelum ini bahawa wujud usaha memancing Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) oleh Umno pada 9 Mei lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha itu menemui kegagalan kerana wakil rakyat PKR dan Bersatu tidak termakan umpan.

Perdana Menteri berkata kemenangan PH sepatutnya diumumkan pada 8.30 malam namun tidak dapat dilakukan kerana wujud usaha oleh Umno yang bekerjasama dengan PAS untuk menarik beberapa wakil rakyat Melayu dari PH.


Loading...
"Umno bercadang bekerjasama dengan PAS dan akan menarik beberapa wakil Melayu daripada PKR dan PPBM (Bersatu) untuk menubuh kerajaan.

“Tetapi rancangan itu tidak berjaya kerana mereka tidak dapat mengumpan orang daripada PH atau pun dari PKR dan PPBM untuk bersama,” katanya mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan untuk ‘memancing’ Anggota Parlimen PH bagi menubuhkan kerajaan Melayu-Islam bersama Pas pada malam 9 Mei lalu.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu bagaimanapun dilaporkan berkata beliau tidak tahu jika ada sebarang pembabitan pihak lain dalam usaha berkenaan.

Ditemui media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini, Dr Mahathir berkata berikutan jumlah tidak mencukupi bagi membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) terpaksa menerima kekalahan dan mengiktiraf kemenangan PH.

Dr Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review sebelum ini mendedahkan terdapat cubaan “di sebalik tirai” beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diumumkan secara rasmi untuk menarik Anggota Parlimen Melayu-Islam dari PH bagi membentuk kerajaan. - Bernama

No comments

Loading...