Header Ads

Utusan: Najib arah keluar maklumat Jho Low dalam laporan audit 1MDB yang disediakan Ketua Audit Negara

Bekas Perdana Menteri Najib Razak didakwa tahu kes 1MDB dan pelik cuma seakan mengakui ditipu Jho Low sahaja. – Foto Jinwei Foundation/New Straits Times

Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa mengarahkan laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disediakan oleh Ketua Audit Negara semasa itu, Tan Sri Ambrin Buang dipinda.

Utusan Malaysia melaporkan menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.


Loading...
Sumber berkenaan mendakwa, pindaan itu difahamkan dibuat dalam satu mesyuarat di pejabat Perdana Menteri bersama Ambrin yang dikatakan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Tan Sri Shukri Mohd. Salleh.

Utusan diberitahu Ketua Audit Negara sekarang, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad telah membentangkan laporan asal 1MDB tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Madinah dijangka akan membentangkan laporan asal itu kepada Kabinet dalam masa terdekat dan seterusnya dalam prosiding siasatan 1MDB oleh PAC pada awal bulan depan.

Sumber itu memberitahu, laporan asal itu mendedahkan bahawa Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB.

Sehubungan itu, sumber Utusan tersebut mendakwa, adalah pelik jika bekas Perdana Menteri dalam wawancara bersama Sinar Harian semalam hanya mengakui ditipu oleh Jho Low berdasarkan perkembangan terbaharu yang berlaku sekarang.

Pada 30 Oktober lalu, Ambrin yang kini mempengerusikan jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan bagaimanapun menafikan pindaan dibuat terhadap laporan asal 1MDB yang disediakan oleh beliau.

Penafian itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Poh yang mendakwa laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda atas arahan individu tertentu.

Kah Poh semasa membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu mendakwa pindaan telah dibuat semasa kerajaan terdahulu, dan menurutnya beberapa agensi termasuk SPRM, Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ untuk menyiasat isu berkenaan ketika itu.

PAC dijadualkan memanggil Ambrin dalam prosiding siasatan 1MDB tetapi kemudian ditangguhkan. Prosiding itu dijadualkan semula pada 4, 5 dan 6 Disember ini setelah PAC mendapatkan nasihat Peguam Negara.

Pada 2016, laporan audit yang dilakukan terhadap 1MDB telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Status rahsia laporan itu dibatalkan pada 15 Mei lalu, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14.

No comments

Loading...