Header Ads

SPRM kemas kini kertas siasatan Isa Samad, dijangka ambil tindakan dalam masa terdekat

Tan Sri Mohd Isa Samad - Foto FMT

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mengambil tindakan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam masa terdekat berhubung isu pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, pada 2014.

Difahamkan pada masa ini kertas siasatan sedang disiapkan oleh suruhanjaya berkenaan berhubung isu pembelian hotel Istana Merdeka yang dilaporkan terlalu mahal serta melebihi nilai pasaran ketika pembelian dibuat.


Loading...
Sumber berkata siasatan kes berkenaan sudah dijalankan oleh SPRM serta sedang dikemaskinikan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini bukti yang ada tidak mencukupi untuk mendakwanya disebabkan akses yang terhad namun siasatan diteruskan semula apabila bukti baharu muncul.

“SPRM akan mengemukakan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan sebelum menunggu arahan selanjutnya,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan sumber lain, suruhanjaya berkenaan juga sedang meneliti beberapa pertuduhan lain terhadap Mohd Isa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas juga sudah diberi taklimat terperinci mengenai siasatan dan perancangan susulan siasatan ke atas kes berkenaan beberapa hari lalu.

Istana Merdeka adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang memiliki 213 bilik, dibeli oleh Felda Investment Corporation dengan harga RM160 juta meskipun nilai sepatutnya yang direkodkan adalah RM110 juta.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan mengetuai FELDA sejak 2011. - BH Online

No comments

Loading...