Header Ads

'Saya tak kisah apa orang nak kata, jika saya fikir saya betul, saya akan lakukannya' - Tun M


PORT MORESBY: Malaysia perlu melindungi industri baharu (infant industry) sekiranya ingin menjadi industri pembuatan sebagai pemacu ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya industri baharu itu tidak dilindungi, Malaysia akan dilihat gagal bersaing dengan negara maju.

“Memanglah negara maju tidak mahu kita bersaing dengan mereka. Itulah pendapat yang berbeza kerana idea perdagangan bebas ini datang daripada mereka (negara maju) yang mana ia memang dibentuk untuk keperluan mereka.


Loading...
“Kita dapati, negara-negara kecil, miskin dan tidak membangun berasa takut untuk menyuarakannya kerana mereka takut dilakukan apa-apa kepada mereka.

“Kita juga takut…tetapi kalau kita tak bersuara, orang lain tak bersuara, maka negara maju dapat buat apa sahaja sampai kita akan jadi miskin,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Antara industri baharu yang dimaksudkan beliau meliputi industri pembuatan automotif dan permotoran, barangan keperluan dapur dan barangan penting yang lain.

Mengambil contoh Jepun dan Korea Selatan dalam industri automotif, Dr Mahathir berkata polisi yang melindungi industri itu menyebabkan mereka kini mampu bersaing dengan peneraju industri automif di peringkat global.

“Masa dahulu, rakyat Jepun membuat kereta dan ketika itu tidak ada siapa nak beli kerana ia tak sama standard Eropah. Namun, oleh kerana mereka melindungi barang buatan mereka, mereka dapat tingkatkan kualiti sehingga sekarang mereka menjadi piawai dunia.

“Bagaimanapun, kalau mereka tidak dibenar berkembang, tidak ada pelindungan, saya tidak fikir Jepun boleh keluarkan kereta seperti sekarang. Korea Selatan juga demikian pada mulanya dahulu. Ada kereta bernama Pony yang dibuat di Korea Selatan.

“Ia dicadang untuk eksport, dan ia tidak laku. Namun, bila ia dilindungi, industrinya jadi besar. Mereka membuat kajian, dan akhirnya mereka boleh masuk pasaran dunia…tetapi rakyat Malaysia amat takut kalau dimarah oleh orang Barat.

"Saya malu. Saya tak kisah apa orang nak kata. Jika saya fikir saya betul, saya akan lakukannya,” katanya lagi. - Astro Awani

No comments