Header Ads

RM10b tak dituntut diserah kepada Jabatan Akauntan Negara



KUALA LUMPUR - Sebanyak RM9.974 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) telah diserahkan oleh pelbagai entiti kepada Jabatan Akauntan Negara sehingga 31 Oktober tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.875 bilion telah dibayar balik dan RM1.6 bilion telah dikreditkan dalam pindahan hasil kerana tidak dituntut dalam tempoh 15 tahun.

Loading...


"Keadaan itu menjadikan jumlah semasa dalam akaun amanah Wang Tak Dituntut adalah sebanyak RM6.495 bilion," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya individu yang ingin membuat tuntutan wang perlu mengemukakan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan dan borang permohonan tuntutan, manakala bagi individu yang telah meninggal dunia, permohonan boleh dibuat waris dengan mengemukakan surat tadbir harta pusaka.

Kepada soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) sama ada terdapat pemberian notis mengenai  WTD kepada individu, Lim berkata pihaknya dimaklumkan ada notis diedarkan bagaimanapun terdapat beberapa kekangan termasuk alamat yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara tidak sama dengan alamat terkini tempat tinggal mereka.

"Saya bagi kementerian minta mereka (individu) yang ada akaun seperti ini (WTD) untuk buat tuntutan kerana sekiranya masih belum sampai 15 tahun, masih berpeluang buat demikian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata lapan syarikat milik kerajaan yang mencatatkan kerugian selama lima tahun berturut-turut tidak akan ditutup.


"Ini antara lapan buah syarikat iaitu ATSB (Astronautic Technology (M) Sdn Bhd; Halal Industry Development Corp; IWK (Indah Water Konsortium) Sdn Bhd; Inno Bio Ventures Sdn Bhd; Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd; Prasarana Malaysia Bhd dan SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad)," katanya.- Bernama

-sinar harian

No comments

Loading...