Header Ads

Pulanglah sebab Malaysia negara anda, kata Dr M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto The Star

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan diaspora Malaysia berasa dialu-alukan apabila mereka membuat keputusan untuk kembali ke tanah air, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ada kalanya mereka tidak dialu-alukan, (sebab) mereka telah lupa bahasa kebangsaan. Jadi, mereka tidak layak. Mereka dapati Malaysia tidak mengalu-alukan (kepulangan) mereka.”

"Saya beri jaminan kepada anda bahawa perkara ini akan diperbetulkan oleh kerajaan baru," katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Rakyat Malaysia di Singapura.


Loading...
Dr Mahathir berada di sini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan.

“Hakikat bahawa mereka tidak mempunyai kelayakan bahasa adalah satu perkara, suatu hari nanti mungkin mereka ada. Tetapi sumbangan mereka, katakanlah mereka melakukan penyelidikan mengenai kanser sebagai contoh, yang amat bernilai. Kita perlu bawa mereka pulang.


“Di negara lain, malah rakyat asing yang mempunyai kelayakan yang bagus, turut diterima oleh negara berkenaan. Tetapi kita langsung tidak memberi penghargaan kepada sumbangan yang boleh dilakukan, misalnya bagi penyelidik, mereka amat berguna kepada negara. Jadi, dalam sesetengah kes, kita perlu menerima mereka,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata rakyat Malaysia berada di seluruh dunia dengan menceburi pelbagai profesion dan memberi sumbangan ke arah kebaikan negara lain.

Menurut beliau, ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan dan berharap rakyat Malaysia akan meneruskannya.

"Apabila anda kembali dari luar negara dengan wang yang bertimbun-timbun (sebagai contoh), melaburlah dan tambah baik produk Malaysia dengan kemahiran serta pengetahuan yang anda peroleh di luar negara, anda boleh melakukannya. Sumbanglah kepada kesejahteraan Malaysia.”

“Jadi… pulanglah, sebab Malaysia adalah negara anda," katanya sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk kembali ke tanah air.

Beliau memberi contoh hartawan terkemuka Malaysia Robert Kuok, dengan berkata:

"Pemilik hotel (Shangri-La) misalnya, mencapai sejuta pertama beliau di Johor.

"Beliau seorang peserta antarabangsa yang berjaya, namun beliau tidak pernah lupa bahawa beliau meraih sejuta pertamanya di Johor."

"Apabila kami mempelawa beliau untuk membantu memulihkan semula negara, beliau bersetuju untuk kembali dan menyumbang sebagai anggota Majlis Penasihat Kerajaan." - Bernama

No comments

Loading...